Tuesday 28 March 2017

Bahasa Inggeris penting dalam sektor pekerjaan

Oleh Siti Aisyah Ramli//
KUCHING: Penggunaan bahasa Inggeris dalam sektor pekerjaan disifatkan sebagai elemen penting bagi tujuan komunikasi khususnya di syarikat global.
Justeru, penekanan terhadap penggunaan bahasa itu sebagai bahasa rasmi kedua di negeri ini terutama dalam kalangan graduan universiti tempatan amat bertepatan sejajar dengan usaha untuk mendapat tempat dalam sektor tersebut.
Menurut Presiden Persatuan Undang-Undang Keselamatan Sosial dan Buruh Malaysia Datuk Dr Cyrus Das, kajian sebelum ini mendapati bahawa kelemahan serta kurangnya pengetahuan dalam bahasa Inggeris merupakan antara faktor graduan gagal mendapat pekerjaan selepas menamatkan pengajian.
“Saya amat menyambut baik inisiatif bijak Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang mahu menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua negeri ini.
“Dengan inisiatif ini saya yakin dalam tempoh sedekad (10 tahun) lagi, graduan Sarawak merupakan graduan mahir berbahasa Inggeris sekali gus berjaya mendapat tempat dalam sektor pekerjaan berbanding Semenanjung Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Persidangan Wilayah Pertama Mengenai Perkembangan Semasa Dalam Undang-Undang Pekerjaan di Malaysia dan Negara-Negara ASEAN di Hotel Pullman di sini, semalam.
Tambahnya, berdasarkan statistik daripada Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), seramai 200,000 graduan dalam lingkungan usia 20 ke 28 tahun di seluruh Malaysia tidak bekerja dan ia merupakan jumlah yang membimbangkan.
“Apa yang saya dapat lihat di Semenanjung Malaysia, khasnya, mereka (graduan) menamatkan pengajian dengan purata gred terbaik, namun masih gagal mendapat pekerjaan atas sebab tidak mahir bahasa Inggeris.
“Sebagai contoh, dalam bidang perbankan, perniagaan, kewangan dan perdagangan, kesemua bidang ini memperuntukkan kita untuk berkomunikasi dengan individu antarabangsa dan sekiranya kita tidak tahu menulis mahupun bertutur dalam bahasa Inggeris, maka ia adalah satu masalah besar,” tegasnya.
Terdahulu ketika beliau memberi ucaptama pada majlis itu, beliau turut menjelaskan, keselamatan sosial dan kebajikan pekerja selepas bersara menjadi isu dominan dalam kebanyakan negara ASEAN hari ini, termasuk Malaysia.
Katanya pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seharusnya mencarum sekurang-kurangnya RM820 setiap bulan untuk jangka masa 20 tahun bagi mencapai simpanan berjumlah RM196,800 sebagai bekalan hari tua mereka.
“Namun yang demikian, sasaran ini tidak mungkin dapat dicapai kerana kita mengambil kira kos sara hidup yang tinggi pada masa kini selain bebanan cukai tidak langsung yang dikenakan ke atas pengguna.
“Justeru, kita amat memerlukan pembaharuan dana pencen selain penilaian semula kebajikan sosial pekerja selepas bersara,” katanya.
Persidangan Wilayah Pertama Mengenai Perkembangan Semasa Dalam Undang-undang Pekerjaan di Malaysia dan Negara-Negara ASEAN itu berlangsung selama tiga hari bermula 13 hingga 15 Januari (hari ini).
Sepanjang berlangsungpersidangan itu mengupas pelbagai topik yang menekankan isu utama yang berbangkit dalam sektor pekerjaan termasuk Keselamatan Sosial dan Perlindungan Kebajikan Buruh Semasa Bekerja dan Selepas Bersara, Isu Pemberhentian Kerja, Peranan Kesatuan Sekerja, Debat Pemberian Gaji Minimum, Industri Minyak dan Gas dan banyak lagi.

No comments:

Post a Comment